Maidah Cuisine @ Harian Metro

Alhamdulillah, dengan izinNya, wartawan Harian Metro sudi membuat liputan untuk Maidah Cuisine pada 6 Februari 2014.

Terima kasih atas sokongan semua pelanggan-pelanggan Maidah dan doa sahabat-sahabat. Kejayaan tidak datang bergolek. Perlu ada usaha dan keyakinan yang berterusan dan jangan mudah mengalah. Ini baru langkah pertama, untuk menuju ke destinasi yang lebih jauh. Doakan agar semua urusan dipermudahkan Ilahi. Ameen.

___________________________

Terpikat Niaga Bila Bantu Suami

Oleh : Oleh Siti Norhidayatidayu Razali

Melihat kejayaan suami sebagai kontraktor menarik minat wanita ini untuk menceburkan diri dalam bidang itu walaupun mempunyai pekerjaan yang baik dengan jawatan tinggi di sebuah syarikat swasta.

Dorongan suami tersayang membuatkan dia bertekad untuk berhenti kerja dan membuka syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan komunikasi, perundingan dan restoran mewah.
Syarikat perunding miliknya itu memberi latihan pekerjaan dan kemahiran termasuk dalam bidang masakan. Perniagaan lain yang turut dijalankan ialah memproses makanan.

Pemilik Amsarcomp (M) Sdn Bhd dan restoran Maidah Cuisine, Ramlah Hamad berkata, pada awalnya dia hanya membantu suami dalam bidang perniagaan dengan menyiapkan dokumen. Selepas beberapa tahun membantu suaminya, Mohd Zaini Mohd Yatim, 40, dia mula terpikat dengan bidang perniagaan.
Ramlah di depan premis perniagaan
Katanya, lima tahun bekerja dengan syarikat swasta tidak memberi kepuasan kepadanya yang mahu melakukan sesuatu untuk diri sendiri dan memperbaiki masa depannya.
Selepas berfikir dan berbincang dengan suami, dia mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan pada tahun 2001. Pada awalnya dia menjalankan perniagaan dalam bidang komunikasi yang beroperasi di rumah, namun ia semakin berkembang dan memerlukan ruang yang lebih besar untuk menampung keperluan pelanggan.

Katanya, ketika itu syarikat menjalankan perniagaan untuk mendapatkan perkhidmatan permit luar negara bagi membawa masuk alat komunikasi.

“Pada awalnya saya tidak yakin untuk menjalankan perniagaan ini, namun berkat sokongan suami dan pelanggan ia semakin berkembang.

“Melihat sambutan menggalakkan, saya mula membuka beberapa cawangan yang menguruskan permit import dan barangan elektrik,” katanya.

Perniagaan itu masih bertahan hingga kini walaupun mengalami zaman kejatuhan ketika awal menceburkan diri dalam bidang itu.

Pada ketika itu, tidak banyak persaingan dan amat mudah untuk mendapatkan permit import. Walaupun tidak banyak persaingan, dia tetap berusaha keras mendapatkan kepercayaan pihak berkuasa.

Kini persaingan dalam kedua-dua bidang ini amat besar, jadi dia perlu melangkah lebih jauh dengan membuka beberapa perniagaan lain untuk terus bertahan dalam perniagaan.

Melihat potensi dalam bidang perniagaan yang luas dan galakan daripada kerajaan yang mahu melihat lebih ramai rakyat khususnya orang Melayu terbabit dalam perniagaan, wanita gigih ini terus merebut peluang di depan mata dengan membuka perniagaan lain.

Pada 2004, dia mula mengembangkan lagi perniagaan dengan membuka syarikat yang lebih besar di Putra Heights. Dia juga turut memperluaskan perniagaannya dalam bidang perundingan yang memberi latihan kepada pekerja kerajaan dan swasta.

Pusat latihannya itu mendapat sambutan menggalakkan kerana dia mempelbagaikan jenis yang diperlukan mengikut prosedur ditetapkan.

Malah Ramlah turut membuka restoran halal mewah dan pasar raya bagi menampung keperluan makanan halal di negara ini.

Sebelum membuka restoran dan pasar raya di bawah program halal kendalian kerajaan, dia menghadiri beberapa seminar halal untuk mendapat status berkenaan. Dengan itu lahirlah restoran mewah halal di Putra Heights. Restoran menyajikan pelbagai jenis makanan Barat, Asia dan tempatan.

“Untuk memberi kepuasan kepada pelanggan, saya melantik tukang masak terkemuka yang mempunyai pengalaman dalam bidang masakan dan pernah bekerja di beberapa hotel,” katanya.

Menurutnya, semua perniagaan diceburinya mempunyai cabaran yang tinggi iaitu persaingan se­ngit daripada restoran serta syarikat lain yang menawarkan perkhidmatan sama pada harga lebih ­murah.

Namun, ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berusaha mencapai cita-cita yang mahu melihat perniagaan dibina setanding orang lain.

Baginya, segala cabaran yang ada di depan mata perlu dijadikan sebagai inspirasi untuk berjaya bukannya menjadikannya sebagai salah satu cara untuk menjatuhkan kita.

“Setiap perniagaan memerlukan modal yang besar, oleh itu kita perlu pandai mencari modal dengan mengumpul keuntungan daripada perniagaan lain. Pinjaman juga membantu untuk meluaskan lagi perniagaan. Kepada golongan muda yang mahu terbabit dalam perniagaan perlu meneruskan niat itu kerana anda boleh berjaya seperti orang lain asalkan gigih berusaha.

“Jangan ada sifat putus asa ­dalam diri kerana ia akan ­menjatuhkan moral kita untuk berjaya. Semestinya setiap perniagaan mempunyai risiko yang tinggi sama ada untung atau rugi, namun usaha berterusan akan membuahkan hasil yang lumayan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/06

Sumber:

http://www2.hmetro.com.my/articles/Terpikatniagabilabantusuami/2013/Article/Lapora

About the Author

Ramlah

Executive Director
AnsarComp (M) Sdn Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


You may also like these