Selalunya apa jua yang dialami dan ditempuhi dalam kehidupan seharian bertitik tolak daripada pandangan mata hati dan cara berfikir serta persepsi diri sendiri. Jika masalah yang dilihat, maka masalah sahajalah yang terzahir di mana-mana, jalan keluar seolah tertutup rapat. Jika setiap masalah dilihat sebagai peluang dan diterima serta ditangani secara positif maka pintu ke arah jalan keluar dari setiap permasalahan akan sentiasa terbuka luas, dengan izin Allah.
Bila kita lihat sesuatu, lihatlah dari pelbagai sudut yang berbeza. Lihat secara “helicopter view” atau 360 darjah. Lihat sebagaimana burung helang melihat, tangkas dan pantas serta tepat menerkam pada sasaran. Maka bila kita melihat sesuatu, kita perlu jelas dan luas serta melalui sudut pandang yang berbeza. Jika masih kesamaran tentang fakta atau maklumat tentang sesuatu perkara, usah cepat membuat keputusan terburu atau mudah menghukum seseorang atau sesuatu perkara dengan sewenangnya, apatah lagi menyebarkannya. Adakala “six sense” atau bicara naluri adalah perlu, namun tidak semua naluri kita itu betul. Jangan pula kita menjadi punca tersebarnya persepsi negatif tentang sesuatu perkara kepada orang lain.
Umat Islam diajar untuk tidak “su’ zhon” atau bersangka buruk, kerana kebanyakan prasangka itu adalah mainan syaitan. Pun begitu, berwaspada dan berhati-hati adalah lebih baik bukan terima sesuatu bulat-bulat. Dapatkan fakta yang jelas daripada sumber yang sahih, bina persepsi yang positif, jauhkan jurang dan ruang syubhah serta syak wasangka, yakin apa yang benar itu benar dan mohon petunjuk dari Allah agar segala fikiran, keputusan dan tindak tanduk kita benar.
Bergaul dengan orang-orang positif, membaca perkara-perkara positif, melazimi membaca al-Quran dan zikrullah terutamanya istighfar, mampu menjadikan minda dan emosi kita lebih terarah untuk sentiasa berfikiran positif dan bertindak positif seterusnya membentuk persepsi diri yang lebih positif dan cemerlang.
Jika memegang bunga, harumnya akan melekat di tangan, begitu juga sebaliknya…Think Positive!