Catatan Si Anak Rantau

Catatan si anak rantau…

Sudah agak lama tidak menulis di sini… Semoga kali ini menjadi permulaan yang baru untuk meneruskan minat dan hobi lama…suka mencatat dan menulis…

==============

Musim tengkujuh sudah bermula. Pagi tadi hujan sangat lebat, turun mencurah-curah di awal pagi, syukurlah tidak melarat hingga ke tengah hari. 

Kerap juga tempias di pipi, apatah lagi bila balik dari office, tengok Ma tiada di kerusi ruang tamu seperti kebiasaannya.

Selalunya, waktu balik rumah terus disambut senyuman Ma, atau dapat jenguk Ma di bilik jika Ma tiada di ruang tamu. 

Sungguh rindu Ma di kg…itu baru berpisah tempat… 

Sepanjang lebih kurang hampir 4 bulan Ma di sini, dah hadam jadual rutin harian Ma. Ma memang sangat disiplin dengan masa. Waktu solat, waktu makan, waktu “physiotherapy” setiap pagi, waktu ngaji, waktu ajar cucu-cucunya mengaji, waktu tengok TV, semuanya ikut jadual dan istiqamah setiap hari. Bab ni yang anak Ma seorang ni selalu gagal nak buat. 

Banyak saya belajar melihat rutin Ma seharian…khususnya dunia Ma dengan Al Quran dan solat di awal waktu…

Ma selalu pesan, kena selalu ngaji Quran dan pastikan cucu-cucunya semua pandai dan rajin baca Al Quran. Bayangkan jika di usia emas kelak, tetapi tidak pandai nak ngaji Quran, betapa sia-sia masa yang dihabiskan katanya…sedangkan Al Quran itu adalah amalan yang paling senang nak buat bila-bila masa (selain waktu terlarang) apatah lagi bila bergelar warga emas dan tak larat nak kemana-mana. Apa lagi yang boleh buat waktu itu? Bukankah sebaik-baik zikrullah adalah membaca Al Quran? Baik Ma, in sya Allah, akan ingat pesan Ma…

Ma cakap, dah tak boleh buat kerja lain, jadi itulah yang Ma boleh buat. Ma kadang-kadang agak ralat, sebab Ma dah tak boleh nak ke surau atau ke masjid macam dulu-dulu, sewaktu arwah ayah masih ada dulu, sama-sama naik motor ke surau / masjid. 

Sedangkan kawan-kawan sebaya Ma di kg nun sekarang ini masih lagi boleh ke masjid / surau solat jemaah dan ngaji Quran sama-sama. Tapi Ma tak dapat dah nak duduk lama-lama atau buat aktiviti luar kecuali jalan-jalan sekitar dalam rumah sahaja. Jarak dari rumah ke pintu pagar rumah pun Ma dah rasa tak cukup kuat. Mengikut doktor, disebabkan faktor usia di samping masalah tulang belakang Ma. Jadi doktor pun tak dapat nak buat apa-apa dan Ma hanya perlu berehat sahaja di rumah. Begitulah, lain orang lain rezeki kesihatannya di usia emas sebegini. 

Apapun Ma sangat bersyukur sebab masih boleh urus diri sendiri. Itulah doa Ma setiap hari. 

Sebak sangat untuk tinggalkan Ma apatah bila lihat raut wajah Ma yang sayu sewaktu kami nak balik semula ke KL dua hari lepas. Phobia pun ada nak tinggalkan Ma, sebab masih teringat-ingat lagi lambaian terakhir arwah ayah sewaktu nak balik ke KL dulu…???. Namun apakan daya…anak Ma perlu teruskan kehidupan yang mencabar di kota ini…

Moga Ma dan kami semua anak-anak menantu Ma panjang umur dan diizinkanNya untuk terus gilir-gilir jaga Ma. Semoga Ma diberi kesihatan dalam jagaan Allah, bersama dua lagi anak menantu Ma dan cucu-cucu di kg…Ameen ya Allah. 

رب اغفرلي ولوالدي وارحمهما كما ربياني صغيرا…آمين

About the Author

Ramlah

Executive Director
AnsarComp (M) Sdn Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


You may also like these