Catatan Musafir: “Halawatul Iman”

Berapa pun usia kita saat ini, sebagai seorang muslim mukmin yang dikurniakan nikmat Iman dan Islam, sejauh mana kita benar-benar hayati dengan sungguh-sungguh, kisah perjuangan nabi SAW di kota Mekah, kota kelahiran baginda untuk diterapkan dalam kehidupan dan amal ibadah kita seharian: 

kisah wahyu pertama diturunkan di Gua Hira’;

kisah bagaimana Islam disebarkan secara rahsia, kemudian secara terang-terangan;

kisah siksaan dahsyat oleh kaum kafir Quraisy yang dihadapi para sahabat seperti Bilal bin Rabah, Keluarga Ammar bin Yasir dan sebagainya kerana beriman dengan ajaran tauhid Rasulullah SAW;

dan bermacam lagi kesusahan serta keperitan yang dialami Nabi SAW dan para sahabat a.s sehinggalah memaksa Baginda Nabi SAW dan pengikut baginda berhijrah ke Madinah Al Munawwarah…

Hayati pula bagaimana kisah pengorbanan nabi Ibrahim a.s, kisah Maryam yang bersendirian melahirkan Nabi Isa a.s, kisah siti hajar yang berlari-lari anak antara bukit sofa dan marwah…

Begitu juga kisah para nabi a.s dan kaum-kaum yang terdahulu yang sering diceritakan berulang-kali dalam Al Quran…kisah ketaatan vs keingkaran, kisah keimanan vs kekufuran…kisah kebenaran vs kebatilan…. bertemakan perjuangan, kesedihan, keperitan dan pengorbanan yang tidak dapat kita bayangkan…

Allah… terlalu banyak kisah sirah untuk kita hayati dan selusuri yang sebenarnya berkait rapat dengan nadi kehidupan kita seharian…kerana dengan perjuangan para Rasul Utusan Allah, betapa mahal nikmat Islam dan Iman, hidayat Allah yang telah sampai kepada kita sekarang ini, yang menjadi asas panduan untuk kita teruskan kehidupan sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di muka bumi ini…

Sama-sama kita terus cari ilmu, berguru, kaji, baca, dengar dan hayati sirah dan pelbagai kisah dalam Al Quran dan Hadis untuk kita dikurniakan rasa “halawatul iman” (kemanisan iman) semasa kita masih bernafas ini.

Sabda Rasulullah SAW:  

“Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan Iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam Api Neraka.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sama-sama doakan dan usahakan agar kita semua terus istiqamah dalam ketaatan, dilindungi Allah dari penyakit-penyakit hati dan sentiasa berada di jalan Allah yang lurus. Ameen. 

‎اهدنا الصراط المستقيم… 

‎لا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم…

Catatan hamba insan fakir mengharap cinta kasih dan rahmat Allah, 

Mekah Al Mukaramah

13 Feb 2016

About the Author

Ramlah

Executive Director
AnsarComp (M) Sdn Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


You may also like these

No Related Post