Usah dilayan kenangan silam jika ianya memilukan.
Usah diulit lena dengan kejayaan lampau kerana ia sudah menjadi sejarah.
Sesekali terkenang itu adalah lumrah, sesekali menoleh ke belakang, itu juga penting, untuk muhasabah dan pengajaran kerana peristiwa silam adalah guru pengalaman yang sangat berharga.
Namun usah begitu tenggelam dalam kenangan sehingga menjadi bebanan perasaan atau ungkitan kisah yang tidak berkesudahan.
Ukir hari baru dengan cerita baru dan semangat baru. Biar laluan di hadapan itu menjadi satu catatan sejarah yang baru, teruskan perjalanan sehingga noktah perhentian itu tiba jua bila sampai masanya.
Malam dan siang bertukar ganti. Hujan dan panas juga silih berganti. Kesemuanya ada manfaat dan peranan tersendiri, tunduk dan akur dengan perintah Ilahi.
Begitu juga suka dan duka, keduanya tidak pernah kekal lama, pasti datang dan pergi mengusik hati, ujian ketabahan dan keimanan jiwa seorang mukmin sejati.
Sama-sama hayati firman Allah dalam Surah al Insyirah ayat 1-8 yang bermaksud:
“1. Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,
2. dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu,
3. yang memberatkan punggungmu?
4. dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu,
5. karena Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
6. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
7. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,
8. dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.” (al-Insyirah: 1-8)
La Tahzan!