Dua hari lepas ada urusan di JPJ, PJ.
Waktu balik ternampak lori yang berpagar serta berkunci ini.
Di dalamnya ada kelibat beberapa orang yang dipakaikan uniform “oren”.
Di depan lori tersebut ada kereta polis yang mengiringi lori ini.
Waktu melihat mereka, tetiba dalam hati lahir satu perasaan yang sukar untuk dimengertikan.
Terkedu seketika.
Terfikirkan nasib mereka dan ahli keluarga yang ditinggalkan. Nikmat kebebasan mereka selama ini ditarik. Entah berapa lama.
Bagi orang Islam, semua itu ada hikmahnya.
Jika mereka benar-benar rasa bersalah dan insaf dengan kesalahan mereka, mungkin asbab hukuman yang mereka terima ini menjadi “turning point” untuk mereka berubah, bertaubat menjadi lebih baik dengan izinNya. Allah Maha Pengampun, Maha Pemaaf dan Maha Mengasihani.
Kisah mereka ini bukan sahaja ibrah untuk mereka yang diuji dengan hukuman penjara, sebagai hukuman kecil di dunia yang bersifat sementara.
Tetapi adalah ibrah untuk diri sendiri yang masih menikmati kebebasan hidup di dunia sementara ini.
Agar nikmat kebebasan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Biar hari ini sentiasa menjadi lebih baik dan terbaik dari semalam.
Jadikan kehidupan dunia sebagai penjara untuk mujahadah diri dengan batas-batas yang telah ditetapkan dalam Islam.
Kebebasan hidup di dunia bukan untuk buat sesuka hati dan melakukan perkara yang dimurkaiNya.
Tetapi gunakan nikmat kebebasan itu untuk memilih laluan hidup ke arah yang diredhaiNya.
Teringat sepotong hadis nabi SAW berkaitan hal ini.
Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:
الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Maksudnya: “Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir”.
(Hadith riwayat Imam Ahmad di dalam Musnad-nya (8289), Imam Muslim di dalam Sahih-nya no 2956)
#catatanRH