Tiada insan yang akan terlepas dari ditimpa ujian dan musibah. Semuanya akan diuji dalam pelbagai bentuk dan cara, mengikut kemampuan masing-masing, mengikut kehendak dan pengetahuan Allah.
Itu sudah janjiNya, yang menciptakan setiap yang hidup dan mati untuk diuji, siapakah yang paling baik amalannya (rujuk tafsir Surah Al-Mulk, ayat 2).
Apa yang membezakan seseorang itu adalah cara dan sikap seseorang itu saat menerima ujian tersebut. Adakah dia sabar, redha, berfikiran positif, bangkit dan terus berusaha untuk memperbaiki sikapnya dan tindak-tanduknya. Paling penting adakah dia terus bermujahadah untuk memperbaiki hubungannya dengan Allah (taqarrub) dan juga hubungannya dengan manusia.
Ada orang bertimpa-timpa menerima ujian demi ujian yang memedihkan dan seolah tidak tertanggung lagi. Namun bukankah itu tandanya Allah sayangkan hambaNya. Mungkinkah ujian-ujian itu sebagai penyebab untuk “turning point” dan berhijrah ke arah yang lebih baik? Mungkin juga ujian-ujian sebelum ini belum cukup kuat untuk menjadi sebab untuknya berhijrah dan berubah ke arah yang lebih baik.
Sesungguhnya apa yang terbaik bagi setiap hamba Allah yang mukmin untuk sentiasa berbaik sangka dengan ketentuan Allah walau dalam apa jua keadaan.
Takdir Allah tetap tetap terbaik untuk setiap hambaNya.
Ujian dan musibah bukanlah satu perkara untuk ditangisi, malah ia patut disyukuri kerana ia mungkin menjadi sempadan hijrah ke arah peningkatan keimanan, darjat ketaqwaan dan ketaatan hamba kepada Khaliq.
Nota: Insan-insan yang hebat yang kita temui itu, di sebalik senyuman mereka, pastinya sudah melepasi ujian demi ujian getir dalam kehidupannya dan pastinya akan terus diuji keimanan dan ketakwaan hingga ke akhir hayat dengan pelbagai cara, susah atau senang. Allahu Akbar.
#tintahijrah
#embraceChange