Repost catatan tahun lalu…

Tazkirah di rumah edisi PKPB, malam Ramadhan…

Kali ini giliran “imam muda” anakanda Muaz Hafizi ditugaskan sampaikan tazkirah.

Tajuk yang diberikan bebas. Jadi dia pilih tajuk sabar, merujuk firman Allah ni:

ان الله مع الصابرين….

Sempatlah Muaz bagi contoh sabar iaitu menahan diri dari marah. Oklah tu, tahap kefahaman dia. Percubaan yang bagus untuk slot 10 minit tazkirah, untuk peringatan seisi keluarga ?. Alhamdulillah.

=======

Ummi pun sambunglah sikit pasal konsep sabar ini untuk anak-anak Ummi faham. Sambil kongsi di sini, sambil muhasabah untuk diri sendiri yang teramatlah cetek ilmu ini.

Banyak ayat Al Quran dan Hadis yang menyentuh tentang sabar.

Sabar berasal dari 3 huruf dalam bahasa Arab “sabr”.

Tetapi huraiannya sangatlah panjang dan konsepnya sangatlah luas, mencakupi setiap nadi kehidupan setiap hamba Allah.

Menurut Ibn Qayyim, sabar itu terbahagi kepada 3 jenis:

1) Sabar dalam ketaatan kepada Allah dan mengikuti segala perintahNya.

2) Sabar untuk menahan diri daripada melakukan maksiat

3) Sabar saat ditimpa musibah.

Ganjaran untuk orang-orang yang sabar itu pula tanpa batas. Tadabbur firman Allah:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas” (Az-Zumar 39 : 10)

Sabar juga senang diucap tetapi tidak semudah untuk dilaksanakan – contohnya bagaimana keadaan diri saat diuji pada pukulan yang pertama.

Berbeza ikut tahap keimanan masing-masing.

Sebab itulah ujian yang ditimpakan kepada hambaNya juga berbeza.

Allah yang Maha Tahu kerana setiap ujian adalah mengikut kadar kemampuan setiap hambaNya.

Berat atau ringan ujian / masalah yang ditanggung juga subjektif bagi setiap orang.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Namun, seberat manapun ujian, Allah tetap ada bersama mereka yang sabar. Itu janji Allah.

Pasti ada pertolongan Allah bagi hamba-hamba pilihanNya mengikut cara dan kehendakNya.

Tugas kita untuk terus mohon pertolongan melalui sabar dan solat. Tadabbur firman Allah:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

“Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’.” (Al-Baqarah: 45)

========

Moga kita semua termasuk orang-orang yang sabar tatkala susah dan senang…ameen ya Allah.

#usratiRH
#catatanCovid19
#diridancermin

About the Author

Ramlah

Executive Director
AnsarComp (M) Sdn Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


You may also like these