Kita biasa dengar kalimah apabila berhadapan dengan seseorang:
Kenapalah dia ni keras sangat hatinya?
Kenapalah susah sangat nak berubah?
Setiap kita mengharapkan agar memiliki hati yang lembut. Hati yang lembut bukan bermakna kita lembik dan lemah. Hati yang lembut sentiasa merasakan rendah hati, tidak sombong dan prihatin serta peduli terhadap orang lain. Hati yang lembut akan segera bertaubat jika melakukan kesalahan. Hati yang lembut akan segera melakukan kebaikan dan amal soleh. Hati yang lembut merupakan cerminan hati yang bersih.
Antara ubat untuk memiliki hati yang lembut:
1. Menangis Di malam Hari
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ….
وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
Tujuh golongan yang akan mendapat naungan pada hari tiada naungan selain naungan Allah: (satu daripadanya)… dan seorang yang berzikir kepada Allah dengan menyendiri lalu kedua matanya menitiskan air mata” (HR Tirmidzi No: 2313) Status: Hadis Hasan Sahih
Kata Ibnu Qayyim:
يُحْيُونَ لَيْلَهُمْ بِطَاعَةِ رَبِّهِمْ بِتِلاَوَةٍ وَتَضَرُّعٍ وَسُؤَالٍ
Mereka menghidupkan malam hari dengan mentaati Tuhan mereka, iaitu dengan membaca al-Quran, mendekatkan diri dan memohon kepadaNya
وَعُيُونُهُمْ تَجْرِي بِفَيْضِ دُمُوعِهِمْ مِثلُ انْهِمَالِ الوَبِلِ الهَّطَالِ
Sedang mata mereka mengalirkan air mata yang deras bagaikan derasnya air hujan yang lebat
2. Membaca al-Quran
اقـرؤاالقـرءان وابكوا فان لـم تبكوا فتبـاكـوا
Bacalah al-Quran dan menangislah! Apabila tidak dapat menangis, maka buat-buatlah menangis” (HR Ibnu Majah: 1237)
3. Banyak Berzikir
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً
“Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, dengan zikir yang sebanyak-banyaknya.” (Al-Ahzab: 41).
فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلاَةَ فَاذْكُرُواْ اللّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَى جُنُوبِكُمْ فَإِذَا اطْمَأْنَنتُمْ فَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَاباً مَّوْقُوتاً
“Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat, ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu duduk dan di waktu berbaring” (An-Nisa: 103).
4. Mengingati Kematian
Muhammad Ahmad ar-Rasyid menyatakan dalam kitabnya al-Raqaiq:
Dalam mengejar kehidupan kita tidak terlepas berada di dalam kancah persaingan – antara mencari keperluan dunia dengan bekalan akhirat. Oleh itu kita perlu mengimbangi dengan sifat qanaah (berpada) dan syajaah (keberanian) agar kehidupan terpantau.
Tidak ada cara baru untuk membawa muslim memiliki pandangan sederhana melainkan dengan mengingatkan terhadap kematian
Ketika Rasulullah menjawab pertanyaan sahabat siapa yang paling cerdik di kalangan mereka, lalu baginda menjawab:
أَكْثَرُهُم للْمَوتِ ذِكْرًا . وَأَحْسَنُهُم لِمَابَعْدَهُ إِسْتِعْدَادًا أُلَئِكَ الأَكْيَاسُ
“Yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persediaan mereka selepas mati. Mereka itulah yang paling cerdik” Riwayat Tabrani, Ibn Majah dan Baihaqi
Uwais Ibn Amir al-Qarni (ahli zuhud di kalangan Tabiin) pernah menyatakan pada penduduk Kufah:
يَا أَهْلَ الكُوفَة : تَوَسَّدُوا المَوتَ إِذَا نِمْتُمْ ، وَاجْعَلُوهُ نُصْبَ أَعْيُنِكُم إِذَا قُمْتُم
“Hai penduduk Kufah, berbantallah dengan kematian bila kamu tidur dan jadikanlah kematian berada di depan matamu bila kamu bangun”
Credit: YB