Kehidupan

Adakalanya dalam kehidupan ini, kita cuba berjalan laju mengikut rutin seharian namun terhenti.

Kita juga hendak lakukan sesuatu yang lain tetapi ada kekangan yang lain pula.

Kita juga mungkin pernah merancang sesuatu yang lain tetapi dilorongkan pula jalan yang lain.

Kita sedang buat sesuatu tugasan lain namun didatangkan pula tanggung jawab dan amanah besar yang lain yang perlu diuruskan segera meskipun tanpa apa-apa perancangan lebih awal.

Kita juga mungkin sedang merancang untuk ke destinasi B, tetapi Allah hantar kita pula ke persinggahan D, G, K dan seterusnya di luar perancangan kita.

Begitulah.

Setiap tugasan, urusan dan destinasi baru itu adalah sebahagian cantuman titik-titik pengembaraan, perjalanan kehidupan kita sebagai hamba Allah di dunia yang fana.

Hakikatnya setiap yang berlaku itu adalah rezeki dan takdir yang Allah sudah persiapkan untuk kita belajar kerana mungkin ada destinasi lain untuk tugasan, ujian dan cabaran baru yang sedang menunggu di hadapan, selagi nafas belum terhenti.

Maka di setiap perhentian dan destinasi yang ada sekarang ini, sebenarnya di situ ada peluang keemasan yang Allah sudah sediakan meskipun ada sejuta kepayahan terpaksa ditempuhi. Bagaikan terpaksa menggali lubang yang dalam dengan penuh kepayahan untuk menemui emas yang tidak kelihatan.

Andai direnung dengan hati yang bersih, fikiran positif, kaca mata iman, maka akan ternampaklan peluang keemasan itu. Berbahagialah jiwa untuk menerimanya dengan tenang dan redha.

Namun jika dipandang dari emosi yang sedang serabut, hati yang kotor, minda yang negatif, maka hanya bebanan demi bebanan yang akan nampak yang akan membelenggu jiwa dan minda setiap hari.

Wahai diri, lepaskan diri dari apa jua fikiran negatif yang membelenggu diri.

Belajar untuk let go. Buangkan segala kekusutan jiwa dengan zikrullah, mohon pertolongan Allah dengan solat dan sabar.

Seberat manapun ujian dan dugaan, pasti ada solusi. Bantuan Allah itu sangatlah dekat dan Maha Hebat, terkadang tanpa kita sedari. Nikmat dan rahmat Allah sungguh luas tidak bertepi.

Kutip segala pengalaman baru, ilmu baru di setiap persinggahan kehidupan. kumpulkan segala kekuatan, lakukan apa yang dapat dilakukan dan didik diri agar tidak berkeluh kesah dan terlalu gundah dan serahkan sahaja segala urusan kepada Allah.

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ

“Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmatMu aku minta pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan kepadaku sekali pun sekejap mata tanpa mendapat pertolongan dariMu selamanya”.

#catatanRH
#diridancermin
#selfreminder

About the Author

Ramlah

Executive Director
AnsarComp (M) Sdn Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


You may also like these