Dunia Bisnes: Bagaimana boleh bermula?

Soalan lazim yang sering ditanya, bagaimana Puan mula berbisnes? Bagaimana Puan urus bisnes Puan sehingga ke tahap ini?

Saya tersenyum. Satu persatu kenangan semasa awal berbisnes dahulu iaitu pada tahun 2001 terbayang di ruang ingatan. Bermula dengan pejabat dari rumah berkonsepkan “Small Office, Home Office” (SOHO), saya bersama suami menapak dan terjun dalam dunia bisnes. Boleh dikatakan bisnes pertama kami ini adalah bidang terjun. Sekadar berbekalkan sedikit pengalaman daripada kerjaya sedia ada dan juga keyakinan diri untuk melakukan perubahan, maka kami nekad untuk berhenti kerja dan teruskan perjalanan yang penuh persoalan…Kami bukan berbekalkan modal wang yang banyak, kerana kami tidak punya modal. Berapalah sangat modal wang yang kami ada pada waktu itu, kerana wang gaji bulanan yang ada hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan bulanan kami seisi keluarga.

Jadi bagaimana kami mulakan bisnes?

Kami mulakan dengan menawarkan perkhidmatan konsultansi untuk kelulusan SIRIM Type Approval untuk alat-alat komunikasi. Perkhidmatan ini tidak memerlukan modal yang banyak kecuali yuran kelulusan yang perlu dibayar kepada SIRIM. Namun selalunya yuran tersebut, dibayar oleh pelanggan kami terlebih dahulu. Perkhidmatan ini adalah hasil pengalaman suami yang berkerja di salah sebuah syarikat telekomunikasi yang sering berurusan dengan logistik dan juga SIRIM dan saya pula berpengalaman dalam menguruskan perkhidmatan pelanggan di syarikat yang sama.

Waktu itu yuran perkhidmatan kami untuk satu-satu model untuk SIRIM Type Approval mencecah 3000 USD (RM10k++) kerana kami berurusan dengan pelanggan kami dari Australia. Ternyata kami amat bersyukur kerana jumlah itu adalah sangat besar bagi kami waktu itu berbanding dengan gaji yang kami perolehi sebelum ini. Dari situ kami meneruskan perjuangan kami dalam bisnes ini dan berjaya memperoleh kepercayaan daripada pelanggan-pelanggan kami melalui “mouth to mouth marketing”.

Sejak itu pelanggan kami mula bertambah dan kerja-kerja juga bertambah sehinggalah tiga tahun selepas itu iaitu pada tahun 2004, kami telah menaik taraf bisnes pendaftaran kami daripada “AnsarComp Enterperise” kepada  “AnsarComp (M) Sdn Bhd” secara rasmi. Kami juga telah berpindah ke ruang pejabat di USJ 21 kerana pada waktu itu kami telah mula menggaji beberapa orang kakitangan sokongan untuk membantu kami.

Maka sedikit tips untuk tuan-puan yang ingin mula berbisnes:
1) Mulakan dengan bisnes yang menawarkan perkhidmatan kerana bisnes yang terlibat dengan perkhidmatan tidak memerlukan modal yang besar.
2) Tidak perlu ada pejabat atau kedai terlebih dahulu, mulakan sahaja bisnes yang bersesuaian dari rumah untuk jimatkan kos operasi bulanan.
3) Tawarkan bisnes perkhidmatan sebaik mungkin melalui kemahiran dan pengalaman yang sedia ada.
4) Peroleh kepercayaan pelanggan dengan perkhidmatan terbaik kita, sehingga pelanggan sendiri yang mempromosikan bisnes kita kepada pelanggan-pelanggan lain.
5) Mulakan bisnes secara bertahap dan sehingga sampai tahap yang sesuai, perlulah mengambil tenaga pekerja untuk membantu meneruskan bisnes seperti akaun, pembantu tadbir dan sebagainya mengikut keperluan bisnes masing-masing.

Maka bisnes kita, in sya Allah akan dapat diurus dengan lebih baik dan terancang.

 

~bersambung…

About the Author

Ramlah

Executive Director
AnsarComp (M) Sdn Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


You may also like these