ADA Atau TIADA?

ADA atau TIADA?

Banyak perkara dalam kehidupan seharian, kita nak perolehi sesuatu tapi tak dapat-dapat.

ADA yang kita dah dapat tapi kita tak begitu hargai. Kita tetap merasakan yang kita perolehi belum cukup-cukup. Kita rasa biasa-biasa dan mengharapkan lebih lagi.

ADA yang dah mula hilang dari kita baru kita tercari-cari dan mula merindui. Baru kita rasai kita pernah memiliki sesuatu yang sangat berharga selama ini.

ADA yang kita nak, tapi ada pada orang lain, bukan milik kita.

ADA yang sedang kita usahakan, tetapi orang lain yang dapat terlebih dahulu. Sempat pula persoalkan kenapa dia yang dapat terlebih dahulu dari kita.

ADA tetapi macam TIADA, walaupun sebenarnya sudah lama kita ADA, cuma kita mudah nampak padang orang lain lebih hijau dari kita, taman orang lain lebih cantik bunganya dari taman kita…

Apakah yang kita ADA ?

Kita perlu ADA usaha sehabis daya untuk dapatkan sesuatu, dalam masa yang sama usah lupa untuk syukuri dan hargai serta nikmati apa yang sedang dimiliki selama ini, apa sahaja, kecil atau besar.

Usah lupa, kita ADA bumi yang dipijak, langit yang dijunjung, suatu hari nanti kita ADA beberapa kaki tanah sahaja tempat bersemadi.

Kita ADA akal fikiran, ADA nikmat iman sejak kita dilahirkan (nikmat terbesar seorang mukmin). Kita juga ADA kuasa untuk buat pilihan terbaik untuk kita, untuk buat perancangan untuk terus belajar tambah ilmu pengetahuan.

Kita juga perlu ADA amalan baik dan istiqamah, ADA azam untuk memberi manfaat kepada diri sendiri dan kepada orang lain, ikhlas semata-mata kerana Allah.


Apakah yang kita TIADA?

Kita TIADA kekuatan untuk menolak hakikat yang tersurat, kita juga TIADA hak untuk mengingkari takdir.

Kita juga TIADA daya untuk buat apa yang kita ingini tanpa izinNya.

TIADA apa yang kekal menjadi milik kita.

Kita sebenarnya sudah TIADA masa, kerana masa sentiasa laju pergi meninggalkan kita.

Kita belum pasti esok milik kita, sebab kita hanya ADA hari ini dan saat ini.

Sejauh mana kita bersyukur dengan apa yang kita ADA? Bagaimanakah kita melahirkan kesyukuran itu? Sejauh manakah ADA usaha kita untuk tingkatkan potensi diri kita dan melakukan yang terbaik agar hari ini sentiasa menjadi lebih baik dari semalam?

Tepuk dada tanya Iman.

About the Author

Ramlah

Executive Director
AnsarComp (M) Sdn Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


You may also like these