Alhamdulillah, hari ini, blog ini terhasil juga, hasil usaha pembantu saya yang telah sudi meluangkan masa beliau untuk menjadikan impian saya ini menjadi realiti.
Sudah lama berimpian untuk mempunyai domain atas nama sendiri, cuma sentiasa sahaja ada kekangan masa yang tidak berkesudahan. Impian ini terhalang kerana komitmen diri perlu terarah kepada perkara yang lebih utama. Maka impian ini harus diketepikan terlebih dahulu sehinggalah detik bersejarah ini.
In sya Allah dalam post saya akan datang, akan saya kongsikan catatan dan fikrah saya, hasil dari minat saya sejak dulu untuk menjadi seorang penulis. Saya suka berkongsi tentang kisah-kisah motivasi sebagai bacaan dan peringatan untuk diri saya sendiri dan juga untuk sesiapa sahaja yang sudi untuk membacanya, agar diri sentiasa bermotivasi dan berfikiran postif setiap masa.
Saya juga amat terinspirasi untuk menyampaikan fikrah saya melalui penulisan kerana ia adalah salah satu cara untuk berdakwah. Saya berpegang kepada sabda nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Sampaikanlah dariku walaupun hanya sepotong ayat” dan juga firman Allah swt yang bermaksud “Dan berpesan-pesanlah dengan kebaikan dan kesabaran” (Surah al-Asr: 3). Maka salah satu cara terbaik adalah menyampaikannya melalui penulisan.
Saya tidak pernah beranggapan saya seorang pakar dalam penulisan, tetapi perkongsian saya ini lebih disebabkan saya sukakan perkara-perkara yang memberi manfaat untuk diri dan juga orang lain. Mudah-mudahan Allah permudahkan hasrat saya ini dan ikhlaskan hati saya untuk mendapat redhaNya semata, serta saya dapat menunaikannya secara istiqamah. In sya Allah, Ameen.