Banyak Allah bagi peluang. Setiap detik masa yang dilalui adalah peluang keemasan.
Cuma sejauh mana insan-insan itu tahu menghargai dan bijak menggunakan peluang tersebut melakukan yang terbaik untuk dirinya dan juga orang-orang di sekelilingnya…
Kemungkinan saat yang ada itu adalah sebenarnya peluang terakhir untuk melakukan perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan sekian lama namun terabai.. Dan jika diabaikan juga, kemungkinan peluang itu telah tiada dan yang tinggal hanyalah harapan untuk peluang kedua yang tidak kunjung tiba.
Tatkala diberi peluang untuk melihat katil-katil pesakit dan penghuninya dengan pelbagai cerita, maka apakah yang terlintas di minda? Betapa besarnya peluang nikmat kesihatan, yang mungkin tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk berabdi padaNya selama ini.
Tatkala melihat anak-anak yang telah membesar, yang mula jarang untuk bergurau-senda dengan kita sebagai orang tua mereka, maka apakah yang terasa menyentap di lubuk hati? Kita pasti merasakan betapa nikmatnya peluang bersama mereka sewaktu mereka kecil dahulu, bergelak ketawa, bergurau senda namun waktu bersama mereka dahulu teramat singkat kerana kita mungkin terlalu sibuk dengan kerjaya kita. Maka betapa banyak kita tidak menggunakan peluang tersebut?
Rebutlah dan nikmatilah peluang yang ada sekarang sebelum terlambat pada saat ini, kerana kita belum pasti esok adakah masih milik kita…